Thursday, October 16, 2008

Usah ‘bunuh’ bahasa Melayu menerusi PPSMI

BAHASA perkasa ialah bahasa yang dibudayakan, hidup dalam lingkungan masyarakat, bangsa dan negaranya serta digunakan sebagai bahasa ilmu.

Memperkasa bahasa bermaksud digunakan seiring usaha pembangunan negara bangsa dan tidak dipinggirkan, kerana bahasa adalah jati diri bangsa.

Justeru, memperkasakan bahasa kebangsaan bukan dengan cara mengajar banyak mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris.


Memperkasakan bahasa kebangsaan juga bukan dengan cara menerima pakai cadangan Laporan Jawatankuasa Wan Zahid supaya bahasa Inggeris digunakan di universiti bagi semua mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi.

Cadangan itu secara terang membunuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi. Ketika menukar bahasa pengantar pada 2003 dulu, tiada pun kajian dibuat sehingga menyanggah segala undang-undang berkaitan.

Mengapakah pula untuk dikembalikan ke landasan yang betul, kita perlu mematuhi undang-undang bagi mengembalikan semula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Kajian pensyarah universiti, kementerian, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu melalui soal selidik, temu bual, pemerhatian bersetuju projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal mencapai matlamat.

Melengahkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik bermakna menambah beban pelajar, sekali gus mempercepat kematian bahasa Melayu.



KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden

Persatuan Linguistik Malaysia.

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template