Sistem pendidikan sekolah perlu lebih liberal, fleksibel dan terbuka berbanding sekarang yang dikawal secara berpusat, terlalu ketat dan seragam, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Baginda bertitah, sistem penilaian pencapaian pelajar sekarang yang diukur melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat juga tidak sesuai dalam era pendidikan moden.
“Sistem pendidikan sedemikian memperlihatkan rekod kejayaan yang menghasilkan pelajar cemerlang tetapi pada masa yang sama, ramai juga pelajar yang gagal.
“Pelajar yang gagal melepasi tanda aras melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat menghadapi dilema, ibu bapa kecewa sementara guru dipersalahkan oleh institusi, pegawai atasan dan ibu bapa.
“Semua pihak terlepas pandang bahawa guru yang sama pernah menghasilkan pelajar yang berjaya melepasi palang ujian dan ada yang mencapai tahap kecemerlangan,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, di sini, semalam.
Hadir sama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Baginda bertitah, manusia dijadikan dengan kepelbagaian dari segi fizikal, bakat, minat dan minda untuk memenuhi keperluan hidup serta keperluan alam yang pelbagai.
"Pendidikan semasa memerlukan kaedah yang lebih fleksibel dan pendekatan lebih lateral," titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah, melalui laporan media baru-baru ini baginda sedar ada rancangan kerajaan untuk mengamalkan sistem pendidikan lebih liberal, terbuka dan fleksibel, selain sekolah diberikan autonomi.
“Kaedah dan pendekatan pembelajaran dan penilaian juga dikatakan akan disesuaikan dengan keadaan setempat, sementara aspek kreativiti akan digalakkan. Perkembangan itu amat memberangsangkan kerana reformasi pendidikan akan menghasilkan orde baru pendidikan.
0 comments:
Post a Comment