Monday, October 20, 2008

Kursus Bina Negara, SMK Majakir Papar.


KUNDASANG- Seramai 60 peserta kursus telah menghadiri Kursus Bina Negara Asas, Program Memantapkan Kerja Berpasukan (Teamwork), SMK Majakir Papar, di Kem Bina Negara Kundasang, Ranau bermula 17 hingga 19 Oktober 2008.

Kursus Bina Negara Utama merupakan kursus anjuran Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri kepada Guru dan Staf SMK Majakir.En.Ishak Habeb telah dipilih sebagai Penghulu dan Pn.Ainul Maziah sebagai Penghulu Wati Kursus Bina Negara Asas tersebut.

Majlis penutupan kursus dihadiri Y.Bhg Datuk Ibrahim Saad, Pengarah Biro Tatanegara, Negeri Sabah.

Program ini meliputi ceramah berkaitan isu-isu politik, ekonomi, pendidikan, perundangan dan keselamatan negara yang akan disampaikan oleh tokoh-tokoh berpengalaman di bidang masing-masing. Disamping itu, para guru dan staf juga mengikuti program latihan dalam kumpulan (LDK), serta aktiviti rekreasi dan kembara yang menjanjikan keseronokan kepada semua peserta.

Secara keseluruhan kursus ini berjaya. Peserta memberikan komen yang baik terdapat kursus ini. Peserta mengatakan mereka telah mendapat maklumat yang berguna menanamkan semangat cinta kepada negara.

Thursday, October 16, 2008

Usah ‘bunuh’ bahasa Melayu menerusi PPSMI

BAHASA perkasa ialah bahasa yang dibudayakan, hidup dalam lingkungan masyarakat, bangsa dan negaranya serta digunakan sebagai bahasa ilmu.

Memperkasa bahasa bermaksud digunakan seiring usaha pembangunan negara bangsa dan tidak dipinggirkan, kerana bahasa adalah jati diri bangsa.

Justeru, memperkasakan bahasa kebangsaan bukan dengan cara mengajar banyak mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris.


Memperkasakan bahasa kebangsaan juga bukan dengan cara menerima pakai cadangan Laporan Jawatankuasa Wan Zahid supaya bahasa Inggeris digunakan di universiti bagi semua mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi.

Cadangan itu secara terang membunuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi. Ketika menukar bahasa pengantar pada 2003 dulu, tiada pun kajian dibuat sehingga menyanggah segala undang-undang berkaitan.

Mengapakah pula untuk dikembalikan ke landasan yang betul, kita perlu mematuhi undang-undang bagi mengembalikan semula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Kajian pensyarah universiti, kementerian, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu melalui soal selidik, temu bual, pemerhatian bersetuju projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal mencapai matlamat.

Melengahkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik bermakna menambah beban pelajar, sekali gus mempercepat kematian bahasa Melayu.



KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden

Persatuan Linguistik Malaysia.

Thursday, October 9, 2008

Pendidikan perlu liberal

Sistem pendidikan sekolah perlu lebih liberal, fleksibel dan terbuka berbanding sekarang yang dikawal secara berpusat, terlalu ketat dan seragam, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.


Baginda bertitah, sistem penilaian pencapaian pelajar sekarang yang diukur melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat juga tidak sesuai dalam era pendidikan moden.

“Sistem pendidikan sedemikian memperlihatkan rekod kejayaan yang menghasilkan pelajar cemerlang tetapi pada masa yang sama, ramai juga pelajar yang gagal.

“Pelajar yang gagal melepasi tanda aras melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat menghadapi dilema, ibu bapa kecewa sementara guru dipersalahkan oleh institusi, pegawai atasan dan ibu bapa.

“Semua pihak terlepas pandang bahawa guru yang sama pernah menghasilkan pelajar yang berjaya melepasi palang ujian dan ada yang mencapai tahap kecemerlangan,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, di sini, semalam.

Hadir sama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Baginda bertitah, manusia dijadikan dengan kepelbagaian dari segi fizikal, bakat, minat dan minda untuk memenuhi keperluan hidup serta keperluan alam yang pelbagai.

"Pendidikan semasa memerlukan kaedah yang lebih fleksibel dan pendekatan lebih lateral," titah baginda.



Raja Dr Nazrin bertitah, melalui laporan media baru-baru ini baginda sedar ada rancangan kerajaan untuk mengamalkan sistem pendidikan lebih liberal, terbuka dan fleksibel, selain sekolah diberikan autonomi.

“Kaedah dan pendekatan pembelajaran dan penilaian juga dikatakan akan disesuaikan dengan keadaan setempat, sementara aspek kreativiti akan digalakkan. Perkembangan itu amat memberangsangkan kerana reformasi pendidikan akan menghasilkan orde baru pendidikan.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template