Friday, November 14, 2008

Tahniah ! Keputusan UPSR Terbaik

Tahniah kepada semua guru yang telah menghasilkan keputusan terbaik UPSR tahun 2008. Terima kasih juga kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang memberi segala bantuan dan prasarana yang terbaik kepada pihak sekolah untuk sama-sama menjana produk yang cemerlang. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd DomKeputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan semalam lebih baik daripada purata lima tahun sebelumnya dengan 46,641 pelajar atau 9.2 peratus mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, peningkatan 1.4 peratus berbanding purata keputusan UPSR dari 2003 hingga 2007.

Keputusan UPSR kali ini akan dijadikan kayu ukur sama ada pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan atau sebaliknya. Jika keputusan ini diambil kira, pastinya dasar ini akan diteruskan. Namun sebelum kata putus dibuat, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih teliti lagi. Pendapat daripada semua pihak perlu diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat.

Tuesday, November 11, 2008

Kambing Dalam Perigi



Pada suatu hari, seekor kambing terjatuh ke dalam sebuah perigi yang sangat dalam. Kambing itu tercedera and meronta-ronta sambil menangis-nangis untuk melepaskan diri dari tempat itu. Tuan punya kambing itu, setelah berusaha berjam-jam, tidak berjaya menyelamatkan kambing itu. Akhirnya, orang itu telah berputus asa lalu membuat satu keputusan yang drastik.

Oleh sebab kambing itu pun sudah tua dan perigi itu pun tidak digunakan lagi, beliau memutuskan untuk menutup perigi itu dengan tanah untuk memendekkan kesengsaraan kambing itu. Dengan bantuan rakan-rakan sekampung, tuan punya kambing itu
menolak tanah ke dalam perigi itu. Kambing itu, setelah sedar apa yang sedang berlaku, menanggis dengan lebih kuat lagi. Tetapi, sekejap kemudian, tiada bunyi didengar lagi dari dalam perigi itu.

Semua orang yang berada di situ melihat ke dalam perigi itu untuk mengetahui apa yang telah berlaku. Apa yang mereka nampak ialah, kambing itu aktif bergerak-gerak untuk melepaskan tanah yang terjatuh ke atas badannya lalu mengambil langkah untuk berdiri di atas tanah yang baru jatuh ke dasar perigi itu. Dengan usaha itu, semakin banyak tanah dimasukkan, semakin tinggi kambing itu naik dari dasar perigi itu. Tidak lama kemudian, setelah perigi itu diisi penuh dengan tanah, kambing yang letih tetapi gembira itu, berjaya melepaskan diri.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita sering kali terperangkap di dalam keadaan yang rumit dan dilempar dengan pelbagai jenis cabaran secara serentak. Seperti kambing yang menggunakan tanah yang jatuh ke atasnya, kita boleh menjadikan setiap cabaran itu sebagai satu anak tangga ke kejayaan. Satu lagi yang boleh dipelajari oleh cerita ini ialah : Kita boleh melepaskan diri kita dari perigi yang paling dalam dengan semangat tidak berputus asa.


Cerita Daripada Thinking Allowed

Monday, October 20, 2008

Kursus Bina Negara, SMK Majakir Papar.


KUNDASANG- Seramai 60 peserta kursus telah menghadiri Kursus Bina Negara Asas, Program Memantapkan Kerja Berpasukan (Teamwork), SMK Majakir Papar, di Kem Bina Negara Kundasang, Ranau bermula 17 hingga 19 Oktober 2008.

Kursus Bina Negara Utama merupakan kursus anjuran Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri kepada Guru dan Staf SMK Majakir.En.Ishak Habeb telah dipilih sebagai Penghulu dan Pn.Ainul Maziah sebagai Penghulu Wati Kursus Bina Negara Asas tersebut.

Majlis penutupan kursus dihadiri Y.Bhg Datuk Ibrahim Saad, Pengarah Biro Tatanegara, Negeri Sabah.

Program ini meliputi ceramah berkaitan isu-isu politik, ekonomi, pendidikan, perundangan dan keselamatan negara yang akan disampaikan oleh tokoh-tokoh berpengalaman di bidang masing-masing. Disamping itu, para guru dan staf juga mengikuti program latihan dalam kumpulan (LDK), serta aktiviti rekreasi dan kembara yang menjanjikan keseronokan kepada semua peserta.

Secara keseluruhan kursus ini berjaya. Peserta memberikan komen yang baik terdapat kursus ini. Peserta mengatakan mereka telah mendapat maklumat yang berguna menanamkan semangat cinta kepada negara.

Thursday, October 16, 2008

Usah ‘bunuh’ bahasa Melayu menerusi PPSMI

BAHASA perkasa ialah bahasa yang dibudayakan, hidup dalam lingkungan masyarakat, bangsa dan negaranya serta digunakan sebagai bahasa ilmu.

Memperkasa bahasa bermaksud digunakan seiring usaha pembangunan negara bangsa dan tidak dipinggirkan, kerana bahasa adalah jati diri bangsa.

Justeru, memperkasakan bahasa kebangsaan bukan dengan cara mengajar banyak mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris.


Memperkasakan bahasa kebangsaan juga bukan dengan cara menerima pakai cadangan Laporan Jawatankuasa Wan Zahid supaya bahasa Inggeris digunakan di universiti bagi semua mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi.

Cadangan itu secara terang membunuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi. Ketika menukar bahasa pengantar pada 2003 dulu, tiada pun kajian dibuat sehingga menyanggah segala undang-undang berkaitan.

Mengapakah pula untuk dikembalikan ke landasan yang betul, kita perlu mematuhi undang-undang bagi mengembalikan semula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Kajian pensyarah universiti, kementerian, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu melalui soal selidik, temu bual, pemerhatian bersetuju projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal mencapai matlamat.

Melengahkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik bermakna menambah beban pelajar, sekali gus mempercepat kematian bahasa Melayu.



KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden

Persatuan Linguistik Malaysia.

Thursday, October 9, 2008

Pendidikan perlu liberal

Sistem pendidikan sekolah perlu lebih liberal, fleksibel dan terbuka berbanding sekarang yang dikawal secara berpusat, terlalu ketat dan seragam, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.


Baginda bertitah, sistem penilaian pencapaian pelajar sekarang yang diukur melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat juga tidak sesuai dalam era pendidikan moden.

“Sistem pendidikan sedemikian memperlihatkan rekod kejayaan yang menghasilkan pelajar cemerlang tetapi pada masa yang sama, ramai juga pelajar yang gagal.

“Pelajar yang gagal melepasi tanda aras melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat Pusat menghadapi dilema, ibu bapa kecewa sementara guru dipersalahkan oleh institusi, pegawai atasan dan ibu bapa.

“Semua pihak terlepas pandang bahawa guru yang sama pernah menghasilkan pelajar yang berjaya melepasi palang ujian dan ada yang mencapai tahap kecemerlangan,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, di sini, semalam.

Hadir sama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Baginda bertitah, manusia dijadikan dengan kepelbagaian dari segi fizikal, bakat, minat dan minda untuk memenuhi keperluan hidup serta keperluan alam yang pelbagai.

"Pendidikan semasa memerlukan kaedah yang lebih fleksibel dan pendekatan lebih lateral," titah baginda.



Raja Dr Nazrin bertitah, melalui laporan media baru-baru ini baginda sedar ada rancangan kerajaan untuk mengamalkan sistem pendidikan lebih liberal, terbuka dan fleksibel, selain sekolah diberikan autonomi.

“Kaedah dan pendekatan pembelajaran dan penilaian juga dikatakan akan disesuaikan dengan keadaan setempat, sementara aspek kreativiti akan digalakkan. Perkembangan itu amat memberangsangkan kerana reformasi pendidikan akan menghasilkan orde baru pendidikan.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template